KOTA KINABALU: Serbuan pihak berkuasa baru-baru ini menunjukkan hidupan liar terancam di Sabah terus menjadi sasaran pemburu haram. Renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah menemui bangkai pelanduk dan babi hutan apabila mereka menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Paitan-Kanibongan di utara Sabah pada Sabtu. Pengarahnya, William Baya berkata, tiga orang yang berada di dalam kenderaan itu telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana secara haram memiliki hidupan liar yang dilindungi. Beliau berkata lebih banyak spesies hidupan liar dirampas dalam operasi penguatkuasaan bersama antara jabatan itu, Jabatan Perhutanan dan polis di Tawau antara 20 dan 22 Mei.