KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan mengikut rentak pembangkang ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, kata Khairy Jamaluddin. Sambil menolak kekerasan, Ketua Pemuda BN itu berkata, sayap Pemuda parti tidak akan terlibat dengan budaya samseng sepanjang tempoh berkempen. "Kami akan pastikan ahli Pemuda Umno terlibat dengan kegiatan yang dirangka jentera parti dan BN akan menjadi pilihan pengundi. "Tetapi untuk mengikut rentak pembangkang menjadi agresif atau mengikut budaya samseng, itu bukan agenda kami," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jentera PRK Pemuda Umno di ibu pejabat Umno di sini, Selasa. Difahamkan suasana pilihan raya di Sungai Besar lebih 'panas' berbanding Kuala Kangsar kerana BN memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti kecil 399 undi pada Pilihan Raya Umum 2013. Khairy juga berkata, Pemuda Umno telah bersiap sedia untuk berhadapan dengan sebarang senario yang akan berlaku pada kedua-dua PRK itu. "Jika pembangkang bertindak agresif dan melanggar undang-undang, kami berharap pihak polis dapat mengambil tindakan," katanya. Menteri Belia dan Sukan itu berkata, sayapnya juga akan membantu calon yang dipilih kepimpinan tertinggi parti bagi memenangi PRK berkenaan. "Kami akan pastikan kemenangan BN tidak kira siapa calon, yang pasti komitmen kami 100 peratus," katanya. Ditanya mengenai kemungkinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkempen untuk pembangkang, Khairy berkata, ia tidak akan memberi kesan terhadap usaha yang dilakukan Pemuda Umno. "Sudah tentu dia akan minta pengundi untuk tidak mengundi Barisan tetapi kami akan beri tumpuan kepada kempen dan memastikan pengundi memilih Barisan," katanya. Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong berikutan kematian Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter terhempas semasa kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 5 Mei lalu.