KUALA LUMPUR: PAS akan mengumumkan senarai calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak, pada Jumaat ini. Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata keputusan itu masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan kerana PAS perlu mengambil pandangan beberapa individu di dalam parti sebelum membuat keputusan. "Kedua-dua kerusi berkenaan adalah kerusi tradisi PAS dan keputusan PAS untuk bertanding di situ tidak sepatutnya dipertikaikan, kita akan umum calon 27 Mei ini," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa. Diminta mengulas mengenai laporan yang mengatakan PAS menjadi punca mesyuarat Pakatan Harapan bagi membincangkan isu PRK ditangguhkan, Idris berkata pihaknya tiada kena mengena mengenai apa yang berlaku di dalam pakatan berkenaan. "Mereka yang tidak dapat kata sepakat kenapa kami yang dipersalahkan? Menurut saya itu merupakan satu tanggapan yang tidak betul," katanya yang juga Anggota Parlimen Bukit Gantang. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Anggota Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.