suria

Polis Selangor Buru Seorang Lagi Suspek Kes Samun, Rogol

SHAH ALAM: Polis Selangor sedang menjejaki seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun dan rogol di Seksyen 6, Petaling Jaya, pada 6 Mei lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata pihaknya telah mengenal pasti identiti lelaki berusia lingkungan 30-an itu dan sedang mempergiatkan usaha bagi mengesan suspek.

"Pemburuan suspek adalah susulan daripada penahanan dua rakan suspek (lelaki) sebelum ini dan siasatan menunjukkan mereka bertanggungjawab dalam kejadian tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, Selasa.

Mengulas mengenai satu rakaman video yang mula tersebar di laman media sosial baru-baru ini, yang merakamkan sekumpulan lelaki melarikan diri menaiki kereta Perodua Myvi dengan membawa barangan curi, Abdul Samah berkata pihaknya tidak menerima laporan berhubung rakaman itu dan akan menyiasat sekiranya rakaman tersebut mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 26 tahun menjadi mangsa rogol dan samun apabila rumahnya dimasuki sekumpulan lelaki kira-kira pukul 8 pagi.

Ketika kejadian, mangsa sedang bersiap untuk keluar bekerja sebelum didatangi kumpulan itu yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Suspek turut dilaporkan melarikan diri dengan barang berharga milik mangsa bernilai kira-kira RM100,000.

Artikel Lain