GEORGE TOWN: Seorang penganggur dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh isterinya dengan cara membakar menggunakan minyak petrol, tiga tahun lepas. Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pendakwaan, di akhir kes pembelaan. Chiam Nguang Huat, 42, didakwa membunuh, Lai Siew Fong di rumah mereka di Taman Bayu Mutiara, Seberang Perai Tengah di sini, pada 4 petang, 24 Jun 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. Nordin dalam keputusannya berkata perbuatan tertuduh adalah jelas mempunyai niat untuk membunuh mangsa apabila tertuduh membeli petrol. "Terdapat percanggahan keterangan antara tertuduh dengan anak-anak tertuduh yang merupakan saksi pendakwaan pertama dan kedua. Tertuduh dalam keterangannya berkata mangsa telah mencabarnya sama ada mahu membakarnya menggunakan petrol itu yang membuatkan mereka suami isteri bergaduh dan bergelut, lalu minyak petrol itu tumpah dan terkena pada si mati dan tertuduh," katanya. Hakim berkata keterangan tertuduh itu bercanggah dengan keterangan anaknya yang melihat sendiri kejadian terbabit yang memberitahu bahawa tertuduh telah menyimbah petrol pada si mati dan membaling puntung rokok ke lantai yang kemudiannya menyebabkan kebakaran pada si mati," katanya. Nordin berkata perbuatan tertuduh membeli minyak menunjukkan persiapan tertuduh untuk melakukan perbuatan itu kepada si mati. Nordin berkata selain itu menerusi keterangan saksi kesembilan iaitu ibu mangsa, anaknya sering memberitahu dipukul oleh suaminya dan mereka kerap bergaduh. "Selain itu selepas menghantar si mati ke hospital mendapatkan rawatan tertuduh terus beredar tanpa menemani si mati dan melarikan diri ke Kuala Lumpur serta tidak pulang ke Pulau Pinang," katanya. Dalam penghakimannya, Nordin berkata rumah tangga pasangan berkenaan sering mengalami masalah dan pergaduhan akibat kewangan serta sikap tertuduh yang sering meminjam wang daripada ah long selain tertuduh telah diisytihar bankrap. Pada Februari 2014, Chiam didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh isterinya, Lai Siew Fong di sebuah rumah di Taman Bayu Mutiara pada 4 petang, 24 Jun, 2013. Chiam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amir Hamdzah Othman manakala Chiam diwakili peguam Y.Anbanathan.-- Bernama