suria

Pemilik Dnars Sedia Bida Plat ‘F42’

PETALING JAYA: Pengasas Dnars, Faziani Rohban Ahmad bersedia membida nombor pendaftaran kenderaan baharu yang bermula dengan abjad ‘F’ bagi Putrajaya yang akan digunakan mulai bulan depan.

Usahawan kosmetik itu berkata, pilihan teratas bagi nombor pendaftaran bagi abjad itu ialah ‘F42’ yang bermaksud ‘FAZ’.

“Nama saya Faziani yang bermula huruf ‘F’, jadi sudah tentu saya akan mendapatkan nombor pendaftaran baharu ini.

“Saya memilih ‘F42’, sebab ia merupakan nama panggilan mesra saya di kalangan sebahagian teman-teman,” katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengenai kenderaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya akan menggunakan nombor pendaftaran baharu bermula dengan abjad ‘F’ mulai 1 Jun.

Pemilihan nombor kegemaran bukan sesuatu yang baharu bagi Faziani dan suami, Ahmad Shah Rizal kerana sudah lama dibuat pada plat kenderaan milik pasangan itu.

Menurut Penaja Utama Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016), kebanyakan nombor pendaftaran kenderaan miliknya bersama suami mempunyai signifikan tersendiri, dengan angka ‘77’.

“Angka 77 ini adalah tahun kelahiran suami saya. Saya melihat nombor ini satu ketenangan dan unik buat saya dan suami. Angka tujuh juga merujuk kepada tujuh lapisan bumi dan tujuh lapisan langit,” katanya.

Tambah Faziani, suaminya merupakan penggemar kereta pelbagai model.

“Nombor pendaftaran kenderaan kami mempunyai angka 77. Dengan pengeluaran plat bermula abjad ‘F’ nanti sudah tentu saya mendapat sokongan penuh suami.

“Malah, suami saya yang mula-mula sekali bersemangat beritahu untuk mendapatkan nombor pendaftaran ‘F’ ini,” katanya dengan nada teruja.

Ditanya sama ada beliau berminat untuk mendapatkan nombor pendaftaran ‘F1’ yang antaranya mempunyai maksud ‘Formula Satu’, Faziani berkata, beliau masih kekal dengan pemilihannya untuk mendapatkan ‘F42’ atau ‘F77’.

“Saya tetap memilih plat ‘F42’ atau ‘F77’. Nanti kalau ada plat ‘FR77’pun saya akan cuba untuk mendapatkannya, gabungan abjad awal nama saya dan nama suami berserta nombor 77,” katanya.

Menurut Faziani, beliau bagaimanapun belum mempunyai rancangan berhubung kenderaan yang akan menggunakan nombor pendaftaran berkenaan.

“Kereta model apa, itu biarlah rahsia. Apapun, semua kenderaan kami digunakan untuk tujuan yang sama. Sama ada untuk keluarga, santai mahupun urusan bisnes,” ujar Faziani.

Selain Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut akan memperkenalkan nombor pendaftaran baharu bermula abjad 'V' mulai 1 Jun.

Dnars, APO2016, Faziani

Artikel Sebelum

Artikel Lain