PUTRAJAYA: Satu pasukan petugas diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim ditubuhkan untuk menyiasat pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs). Alwi berkata, pasukan itu kini dalam proses mengumpul dokumen berkaitan bagi mengenal pasti kelemahan pelaksanaan myIMMs. "Siasatan awal mendapati ia melibatkan pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2). Sesetengah pegawai sudah ditukarkan dan ada yang dalam proses (pertukaran)," katanya kepada pemberita selepas sesi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa bersama media susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2015 Siri 1 di sini, Selasa. Dalam LKAN 2015 Siri 1 menyatakan myIMMs yang dibangunkan bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen kurang memuaskan dan menyebabkan objektifnya terjejas. Menurut laporan itu, kemudahan biometrik myIMMs bernilai RM10.3 juta telah dibekalkan dan dibayar, tetapi tidak dipasang dan diguna pakai di pintu masuk negara bagi tujuan penyaringan dan pengesahan identiti warga asing dan juga rakyat Malaysia. Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya percaya wujud perbuatan sabotaj dalam pelaksanaan myIMMs oleh Jabatan Imigresen. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut berkata beberapa nama dikenal pasti dan akan diumumkan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Sakib Kusmi serta Polis Diraja Malaysia. Sementara itu, Sakib berkata Jabatan Imigresen akan menyiasat elemen sabotaj di peringkat dalaman dan luar termasuk penglibatan pihak vendor dan warga asing yang menyebabkan pelaksanaan myIMMs sering tergendala. "Kita sedang meneruskan siasatan bagi menentukan siapa yang terlibat. Kita akan membuat pengumuman bersama pihak polis apabila masa tiba. Pihak ini tidak dipanggil lagi. Siasatan sedang dijalankan. Apabila tiba masanya, mereka akan dipanggil," katanya. --Bernama