PETALING JAYA: Pemantauan selama empat hari akhirnya membuahkan hasil kepada seorang lelaki apabila dia berjaya menangkap pencuri yang meragut beg tangan teman wanitanya. Lelaki itu bertindak menerkam suspek berhampiran sebuah hotel di Seksyen 16 di sini kira-kira pukul 10.50 pagi pada Sabtu lalu dan membuat tangkapan awam. Dia kemudian menyerahkan suspek, 38, kepada pihak polis. Peragut berkenaan didakwa meragut beg tangan wanita itu selepas dia turun dari sebuah bas di Jalan 17/2 pada pukul 5 petang, 17 Mei lalu. Wanita itu kemudian memberitahu teman lelakinya mengenai kejadian tersebut. Berdasarkan penerangan mengenai kejadian itu, lelaki berkenaan bertindak mengintip lokasi kejadian selama beberapa hari. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, selepas suspek disoal siasat, polis menahan dua lagi lelaki disyaki rakan sejenayahnya. "Salah seorang daripada mereka adalah seorang broker berusia 19 tahun sementara seorang lagi, 28, adalah pembeli barangan curi," katanya. Sementara itu suspek awal yang diserahkan mempunyai rekod jenayah dan dipercayai bertanggungjawab untuk sekurang-kurangnya 20 kes ragut lain, tambah ACP Mohd Zani. Ketiga-tiga mereka ditahan reman seminggu.