KUALA LUMPUR: Seorang remaja dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana terlibat dalam kegiatan militan. Pesurujaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Nordin Hassan yang membacakan penghakiman berkata, kesalahan yang dilakukan adalah serius kerana ia melibatkan keselamatan awam. "Ia memberi impak besar kepada negara kerana serangan ideologi berterusan di kalangan radikal. "Masalah ini perlu ditangani. Bukan sahaja kepentingan remaja ini perlu diambil kira, malahan masa depan orang ramai juga perlu diberi pertimbangan sewajarnya," katanya. Beliau menambah, hukuman ini seharusnya memberi mesej bahawa seriusnya kesalahan yang dilakukan bagi memastikan pihak lain tidak melakukan jenayah sama. Nordin juga berkata, adalah tidak sesuai untuk remaja berusia 17 tahun itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney seperti disarankan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Beliau juga berkata, langkah perlu diambil untuk memastikan remaja berkenaan tidak dibenarkan berinteraksi atau ditempatkan dalam sel bersama banduan dewasa bagi mengelak dipengaruhi. Sehubungan itu, beliau memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh penahanan remaja itu pada 25 April tahun lalu. Remaja itu didapati bersalah pada 12 Mei, tetapi Nordin hanya membuat penghakimannya pada Jumaat sementara laporan percubaan dalam proses untuk disiapkan. Remaja terbabit ditahan bersama empat lelaki dewasa lain di Hulu Langat kerana terlibat dalam konspirasi untuk menyerang bangunan kerajaan, kelab malam, pusat pelacuran dan premis hiburan. Kelima-lima mereka juga didapati memiliki bahan kimia dan peralatan untuk membuat bahan api. Mereka melakukan kesalahan itu di No.2, Lot 3917, Kampung Bistari, Sungai Michu, Batu 13, Hulu Langat antara 7 malam 24 April 2015 dan 1 pagi pada 25 April tahun lalu.