KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera ditikam selepas berlaku pertengkaran dengan seorang wanita yang tidur di katilnya di sebuah ladang kuda di Tanjung Aru, dekat sini. Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M.Chandra berkata, mangsa yang bertugas sebagai penyelia kuda telah ke biliknya apabila terlihat wanita yang dikenalinya itu sedang tidur di katilnya. Beliau berkata, lelaki berusia 41 tahun itu kemudian mengejutkan wanita berusia 29 tahun itu daripada tidur pada kira-kira 3 pagi, Khamis kerana mahu tidur di katilnya tetapi tercetus perang mulut antara mereka. "Wanita itu enggan mengalah dan mencari pisau kecil sebelum menikam lelaki itu pada pinggang," katanya pada sidang media di sini. Beliau berkata, lelaki itu bergegas ke hospital sebelum melaporkan perkara itu kepada polis. "Wanita itu yang dipercayai mengalami masalah mental sedang duduk sambil memegang pisau ketika polis tiba untuk menahannya," katanya. Chandra berkaa, lelaki itu menerima tiga jahitan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.