suria

Warga Australia Dipenjara 14 Hari Merokok Dalam Pesawat Malindo Air

SEPANG: Seorang pengusaha kafe di Perth, Australia yang mengakui dirinya seorang perokok tegar dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret Sepang di sini selepas mengaku bersalah merokok dalam tandas pesawat Malindo Air.

Ibrahim Bob Ibrahim, 46, pemegang pasport Australia dan berketurunan Jordan didakwa menghisap rokok dalam tandas bahagian belakang pesawat Malindo Air penerbangan OD152 dari Perth, Australia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Mei lepas.

Ibrahim menghadapi pertuduhan di bawah Peraturan 73(2) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 1996 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 188 (6)(a) peraturan sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Majistret Sharifah Muhaymin Abdul Khalib memerintahkan hukuman penjara berkenaan dilaksanakan dari tarikh tangkapan. 

Ibrahim kelihatan tenang namun agak keletihan dalam kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan kepadanya dalam Bahasa Inggeris. 

Berdasarkan fakta kes, seorang daripada anak kapal penerbangan tersebut mendapati tertuduh menghisap rokok dan memaklumkan perkara itu kepada kapten penerbangan yang kemudiannya membuat laporan polis.

Barang kes yang dibawa dalam mahkamah ialah kotak rokok dan tiket penerbangan Malindo Air milik Ibrahim.

Dalam rayuannya, Ibrahim yang diwakili peguam Zaflee Pakwanteh mendakwa kali terakhir beliau menaiki pesawat ialah lapan tahun lepas dan ketika itu beliau masih boleh merokok dalam penerbangan.

"Anak guam saya merupakan seorang bapa tunggal dan menyara ibunya di Perth memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan dan tidak ada niat untuk membahayakan penumpang yang lain. Dia merupakan seorang perokok tegar dan sukar mengawal  ketagihannya," katanya lagi.

Timbalan Pendakwa Raya S. Abirami memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana pengumuman tidak dibenarkan merokok di dalam pesawat sudah dibuat sebelum pesawat berlepas dari Perth dan tindakan merokok dalam tandas pesawat boleh membawa padah kepada semua penumpang dalam penerbangan itu. -- Bernama



Malindo Air, Australia, Perth

Artikel Lain