suria

Hotel Mewah Strategi Tarik Pelancong Berpendapatan Tinggi Ke Langkawi - PM

LANGKAWI: Pembinaan hotel mewah seperti The St Regis Langkawi merupakan strategi bagi meningkatkan lagi reputasi pulau peranginan ini di persada dunia, khususnya dalam kalangan pelancong berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata dengan pembukaan hotel mewah itu, nama Pulau Langkawi akan mendapat tempat lebih tinggi lagi di peringkat antarabangsa melalui pembangunan lain yang bakal menyusul.

"Apa yang belum dapat kita lakukan ialah (promosi untuk) membawa pelancong 'upmarket' (kelas tinggi) atau pun 'premium market' (pasaran premium) ke Langkawi.

"Bila kita dapat bawa pelancong 'upmarket', kita dapat (mewujudkan) lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi dan sumber permintaan (lebih untuk) kraftangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke hotel The St Regis Langkawi, yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini, pada Ahad malam.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pembinaan hotel bertaraf enam bintang itu merupakan permulaan kepada usaha mewujudkan lebih banyak lagi infrastruktur pelancongan yang bersesuaian dengan citarasa pelancong berpendapatan tinggi.

Beliau berkata kerajaan juga merancang menambah penerbangan terus antarabangsa ke Langkawi bagi meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke pulau ini.

"Buat masa ini, hanya ada satu penerbangan terus antarabangsa yang melibatkan perjalanan di antara Guangzhou, China dan Langkawi. Melalui penambahan penerbangan terus seperti ini, ia akan meletakkan pulau ini di dalam peta dunia pelancongan," kata beliau.

Menurutnya The St Regis Langkawi melambangkan kejayaan kerjasama di antara sektor kerajaan dan swasta serta hubungan baik di antara Malaysia dan Indonesia.

"Hasilnya, hotel ini siap dalam masa 19 bulan. (Ini merupakan) satu rekod (kerjasama) swasta dan kerajaan yang boleh menjayakan projek bertaraf antarabangsa dan menepati bajet," katanya.

Projek The St Regis Langkawi merupakan usaha sama di antara Kementerian Kewangan menerusi Ministry of Finance Incorporated dan Rajawali Group, sebuah syarikat dari Indonesia.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Pegawai Eksekutif Rajawali Group, Tan Sri Peter Sandakh antara yang mengiringi Perdana Menteri dalam tinjauan itu.

Artikel Lain