GEORGE TOWN: Penduduk di Island Glades di sini dikejutkan dengan kehadiran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada pagi Ahad. Ketibaan baginda di sini bukan sebahagian daripada lawatan rasminya. Sebaliknya, baginda berkenan menziarahi bekas pengetua sekolah menengahnya sempena Hari Guru. Sultan Ibrahim tiba di sini kira-kira pukul 11 pagi Ahad untuk bertemu Yeong Siew Mun, 81, dan keluarganya. Yeong merupakan pengetua baginda dari 1971 hingga 1975 di Maktab Sultan Abu Bakar yang dahulunya dikenali sebagai English College Johore Bahru. Selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit di kediaman Yeong, mengimbas kembali zaman persekolahan baginda, Sultan Ibrahim kemudiannya berkenan membawa Yeong dan keluarganya untuk makan tengah hari. Mereka menikmati santapan makan tengah hari di Restoran Nasi Kandar Kayu, Bayan Baru.