KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kedai didenda RM1,500, atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret pada Selasa kerana menyebabkan kecederaan ke atas adiknya. Majistret Husna Dzulkifly menjatuhi hukuman denda itu ke atas Lim Kok Khang, 59, selepas dia mengaku bersalah memukul adiknya, Lim Kok Leong, 57 di bahagian lengan dan badan menggunakan bingkai keluli. Dia melakukan kesalahan tersebut di premis bernombor 273-N2 Sentul Pasar di sini kira-kira 5 petang pada 27 Mei lepas. Dia menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan jika sabitan. Pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwa raya Noorelynn Hanim Halim sementara Khang tidak diwakili. - BERNAMA