suria

Permata Boleh Bantu Pupuk Generasi Masa Depan Yang Lebih Kuat - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor melakukan simbolik perasmian Permata International Conference 2016 di Pusat Dagangan Duni Putra, Selasa. Persidangan Permata Antarabangsa 2016 berlangsung selama tiga hari yang turut dihadiri peserta-peserta luar negara.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap lebih banyak pusat dan program Permata diperkenalkan di seluruh negara dalam usaha memupuk generasi yang lebih kuat dan kukuh jati diri.

Beliau berkata selaras dengan falsafah Permata bahawa "setiap kanak-kanak amat berharga" dan "tiada kanak-kanak yang harus ketingggalan", beliau percaya setiap kanak-kanak harus diberi peluang sama rata untuk berjaya dalam kehidupan.

"Kerajaan menyokong penuh program ini kerana setiap orang harus diberi permulaan yang baik dari zaman kanak-kanak lagi dan mempunyai keupayaan untuk meniti kejayaan berdasarkan bakat masing-masing.

"Hanya bezanya kelak seseorang itu berjaya atau tidak bukan kerana dia tidak diberi peluang tetapi sama ada dia mempunyai keinginan dan mahu berjaya," katanya semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Permata di sini, Selasa.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga penaung Permata.Najib juga berharap lebih banyak sektor swasta tampil membantu dan menyumbang ke arah perkembangan program dan matlamat Permata.

"Saya secara peribadi mahu melihat lebih banyak pusat dan program Permata dibuka di seluruh negara. Marilah kita memainkan peranan kita supaya falsafah Permata ini akan berakar umbi dalam masyarakat kita," kataya.

Menceritakan detik permulaan bagaimana beliau memberikan sokongan penuh terhadap Permata dan visinya, kepada delegasi persidangan itu, Najib berkata dalam tahun 2006 Rosmah mengusulkan idea Permata dengan bantuan pakar-pakar dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Katanya pakar-pakar berkenaan telah meyakinkan beliau bahawa dengan melabur dalam pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, akan akhirnya memberikan manfaat jangka panjang dan hasil yang positif, serta mengurangkan perbelanjaan kemudian.

"Sebabnya ialah jika seseorang itu kuat, jika dia mampu membuat pilihan yang betul, jika seseorang didukung dengan nilai-nilai yang kukuh, stabil dari segi emosi dan kuat dari segi psikologi, serta disemai dengan ilmu yang tepat, maka seorang itu tidak akan cenderung menjadi penagih dadah atau penjenayah mahupun membawa penyakit sosial dan masalah dalam masyarakat.

"Jadi kita akan kurang mengeluarkan perbelanjaan kemudian. Sebagai menteri kewangan, bila saya dengar kurang belanja kemudian, bermakna ia suatu keputusan yang bijak. Berbelanja hari ini dan melabur dalam potensi kanak-kanak kita, kita akan menuai hasil dan meraih manfaatnya kemudian," katanya.

Najib menambah kata sebagai pemimpin, beliau mahu melihat generasi Malaysia akan datang menjadi kuat dari segi fizikal, mental dan rohani dalam menghadapi cabaran mendatang.

Mengambil contoh media sosial, beliau berkata kerajaan tidak boleh menyekat atau menapis Internet, anak muda patut dilengkapi dengan keupayaan untuk membuat pilihan yang tepat semasa mengakses maklumat dalam Internet.

Najib turut memuji Permata dan programnya yang memberi tumpuan dalam membekalkan pendidikan berkualiti dan mengembangkan bakat kanak-kanak sejak usia awal lagi, yang usahanya kini diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Bermula dengan kualiti pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, Permata melalui pelbagai usaha, mengenal pasti bakat berbeza kanak-kanak terutama mereka yang datang dari pedalaman dan keluarga berpendapatan rendah, serta kanak-kanak istimewa atau berkeperluan khas dan memberikan mereka peluang untuk mengembangkan potensi mereka," katanya.

Perdana menteri juga mengucapkan tahniah kepada Permata kerana memenangi  anugerah kebajikan kanak-kanak 'Children Welfare Award" di Global Good Governance Awards, Istanbul baru-baru ini.

Kira-kira 1,900 anggota perwakilan dari seluruh dunia terdiri daripada pakar pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak menghadiri persidangan tiga hari itu.-- Bernama


Artikel Lain