suria

Tipu Pakej Pelancongan Hampir RM200,000, Wanita Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita tempatan yang dipercayai aktif menggunakan media sosial sebagai medium memperdaya orang ramai dengan pakej pelancongan murah sejak tahun lepas, telah ditahan polis.

Sepanjang menjalankan perniagaan secara dalam talian itu, suspek yang berusia 22 tahun itu difahamkan telah mengaut keuntungan kira-kira RM200,000.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan memberitahu Bernama bahawa suspek ditahan reman bermula pada 23 Mei dan dilepaskan tiga hari kemudian setelah keterangan diambil.

"Bagaimanapun, suspek ditahan semula pada Khamis lepas (26 Mei) oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD Manjung bagi membantu siasatan dipercayai berhubung kes penipuan pakej pelancongan ke Pulau Perhentian," katanya.

Othman berkata suspek disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Difahamkan, suspek yang masih bujang dan menganggur itu menggunakan laman sosial Instagram dikenali sebagai 'mytravel.coo' untuk menjerat mangsanya dengan mengiklankan pakej percutian di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, instagram milik suspek kini didapati tidak aktif dan ditutup sejak suspek ditahan.

Antara pakej percutian dalam negara yang dianjurkan ialah Pakej ke Redang dan Pulau Perhentian dengan bayaran tiga hari dua malam sebanyak RM200 hingga RM250 seorang, manakala bayaran pakej ke Jepun dan Korea serendah RM1,300 seorang untuk pakej percutian lima hari empat malam.

Selain itu, pakej lain dalam dan luar negara yang dianjurkan suspek ialah Pakej ke Pulau Tioman, Maldives dan Australia merangkumi tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan, tiket lawatan dan makan minum.

Seorang mangsa, ejen pelancong sambilan dikenali sebagai Hanie dari Kuantan berkata beliau bersama lapan pelanggannya mengalami kerugian kira-kira RM20,000 apabila pakej melancong ke Jepun yang dijadualkan pada 29 April telah ditunda kepada 1 Mei lepas.

"Bayaran ini termasuk pakej percutian RM1,300 setiap seorang dan bayaran ganti rugi tiket kapal terbang pelanggan saya dari Johor Baharu ke Kuala Lumpur pada hari kejadian.

"Setelah rombongan kami tiba di KLIA pada 4 pagi hari tersebut dan membuat pemeriksaan nama di kaunter Air Asia mendapati nama kami tidak ada dalam senarai penumpang," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menyedari ada yang tidak kena, Hanie terus menghubungi dan menghantar pesanan melalui WhatApps kepada suspek yang dikenali sebagai Alia, namun dia memberi alasan dia sedang menguruskan ibunya yang meninggal dunia dan memohon maaf kerana tidak dapat menghadirkan diri pada hari kejadian.

"Suspek turut berjanji akan memulangkan kesemua bayaran dan ganti rugi kami, namun selepas tiga hari kemudian beliau tidak menepati janji untuk memulangkan semula bayaran itu sehingga kini," katanya.

Berikutan itu satu laporan polis telah dibuat di IPD Kuantan, Pahang pada 20 Mei lepas.

Difahamkan, menurut mangsa yang telah pergi ke rumah suspek di Sungai Buloh bagi menuntut wang mereka kembali, mendapati ibu bapa suspek masih hidup.

Seorang lagi mangsa, Nur Rosamimie Farisa Mohd Roslan, 30, mengalami kerugian hampir RM3,000 apabila beliau bersama 11 ahli keluarga dan pekerjanya memilih pakej percutian ke Pulau Redang selama tiga hari dua malam pada 20 Mei lepas.

"Pakej yang ditawarkan merupakan RM250 setiap seorang...saya menyedari tertipu pada Khamis petang (19 Mei) sehari sebelum bertolak setelah menerima mesej yang dihantar seseorang melalui akaun instagram saya.

"Bagi tidak menghampakan keluarga dan pekerja yang mengikuti rombongan itu, saya terpaksa menghubungi ejen pelancong lain untuk mengambil pakej ke Pulau Redang bagi menggantikan pakej yang dianjurkan suspek," katanya.

Beliau membuat laporan polis di IPD Kota Baru pada 23 Mei.

Sehubungan itu, satu akaun instagram 'mytravel.coo_penipu' telah diwujudkan oleh beberapa mangsa kebanyakan terdiri daripada golongan wanita, bagi mendedahkan maklumat mengenai penipuan pakej pelancongan yang dianjurkan suspek, kepada orang ramai.

Semakan Bernama, mendapati akaun instagram itu masih aktif dan mempunyai 14,400 pengikut, selain memaparkan 68 paparan skrin bukti perbualan mangsa dengan suspek. -- Bernama


Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan