suria

Sindiket Raih Habuan Berbilion Ringgit Godam Sistem Imigresen

- Gambar hiasan
SEPANG: Sindiket telah meraih habuan berbilion-bilion ringgit dengan menggodam Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) sejak 2010.


Apa yang lebih buruk, perlanggaran sistem itu boleh menjejaskan keselamatan negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Sakib Kusmi.

Beliau berkata sindiket mungkin telah menggunakan myIMMs untuk memudahkan penyeludupan manusia, malah untuk membenarkan suspek pengganas bebas bergerak di dalam dan luar negara ini.

Menurut sumber dalaman jabatan, ramai warga asing yang disenarai hitam dapat masuk ke negara ini dengan penggodaman, kerana para pegawai tidak dapat mengimbas butiran warga asing apabila terdapat gangguan dalam sistem.

"Dalam kebanyakan kes, kami bergantung kepada maklumat yang sedikit yang boleh diperolehi pada masa itu dan seterusnya membenarkan warga asing itu masuk," katanya.

Tambahnya myIMMs terkandung semua maklumat tentang warga asing, termasuk permit kerja mereka, visa dan data biometrik.

Beliau berkata, seorang pelajar perempuan dari Kyrgyzstan telah masuk semula ke negara ini pada tahun 2013, tetapi rekod myIMMs tidak mempunyai butiran mengenai dirinya.

"Setahun sebelum itu, sistem itu menunjukkan pelajar berusia 22 tahun itu telah menyalahgunakan visa pengajian dan telah disenarai hitam tetapi myIMMs tidak mempunyai rekod itu," kata sumber itu.

Sakib berkata ejen atau sindiket, yang biasanya berpangkalan di luar negara, merasuah anggota Jabatan Imigresen dengan memberi arahan untuk membantu mereka melakukan penggodaman sistem.

Penggodam tidak akan dapat mengakses sistem myIMMs tanpa bantuan dalaman.

"Apabila orang-orang ini mendapat akses kepada sistem, mereka boleh melihat banyak fail kami dan juga meluluskan atau menolak sebarang permohonan.

"Mereka juga boleh melihat ID (digunakan oleh kakitangan Imigresen untuk log masuk) kakitangan lain dan mencipta ID mereka sendiri," kata Sakib.

Beliau mendakwa penggodam menggunakan komputer berkelajuan tinggi untuk menggodam sistem.

Katanya, pasukan risikan jabatan itu telah memantau perkara itu sejak 2010 dan tindakan telah diambil terhadap beberapa pegawai, termasuk pemecatan, pemotongan gaji dan tindakan disiplin.

"Aktiviti ini tidak begitu serius ketika itu.

"Ia menjadi lebih teruk pada 2014 dan 2015 apabila ia melibatkan isu-isu keselamatan negara dan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian berjuta-juta ringgit," katanya.

Sakib berkata keadaan kini sangat kritikal dan mereka yang telah dikenakan tindakan sebelum ini juga telah membantu dalam melakukan sabotaj.

"Dalam tempoh dua tahun, peralatan yang digunakan sindiket terbabit juga ditemui.

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan vendor pengurusan sistem dan mereka selalu berkata sistem itu tidak terjejas.

"Bagi saya, tidak ada sistem yang 100 peratus sempurna. Kekurangan yang saya perhatikan di peringkat awal adalah pengurusan ID.

"Ini adalah salah satu perkara yang saya kesalkan kerana tidak mendapat maklumat yang tepat mengenainya," kata beliau sambil menambah beberapa pegawai imigresen mungkin berfikir ID mereka perkara remeh, tanpa mengetahui bahawa seseorang di luar sana boleh menggunakannya untuk menggodam sistem.

Artikel Berikut

Artikel Lain