suria

Nik Abduh Ramal Sokongan Bukan Islam Terhadap DAP Merosot

KOTA BARU: Sokongan pengundi bukan Islam terhadap DAP akan merosot berikutan parti itu sering membangkitkan isu panas berkaitan agama, kata Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata, sepatutnya semua pihak perlu menghormati antara satu sama lain berhubung soal agama.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan bahawa ia bukan soal perkauman tetap mengenai agama masing-masing.

"Walaupun sokongan DAP nampak kuat tetapi sokongan orang bukan Islam akan berkurangan selepas ini.

"Saya yakin orang bukan Islam tidak suka politik panas, cuba untuk melaga-lagakan terutama melibatkan agama," katanya pada sidang media di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini, Rabu.

Pada 26 Mei lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Nik Abduh berkata, berdasarkan kajian yang dibuat selama seminggu, bukan sahaja rakyat Kelantan tetapi umat Islam di negara ini menyatakan sokongan penuh kepada RUU.

"Jadi, DAP tak perlu main api dengan isu agama. Ini adalah umat Islam yang tak kacau orang bukan Islam.

"RUU adalah soal agama maka DAP perlu menghormati PAS dan umat Islam," katanya.

Artikel Lain