suria

Ibu Bapa Rayu Polis Tahan Huckle

Richard Huckle
PETALING JAYA: Ibu bapa kepada pedofilia British, Richard Huckle meminta polis datang mengambil anak mereka selepas dia mengaku telah merogol kanak-kanak seawal usia tiga tahun kepada ibunya, lapor Daily Mail.

Pendakwa Brian O'Neill QC berkata, sebelum didakwa, Huckle diarahkan untuk berada di bawah kawalan ketat di rumah ibu bapanya.

"Ibunya menyoalnya tentang dakwaan tersebut dan dia mengaku bahawa dia telah melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak berusia tiga hingga 13 tahun.

"Ibunya amat kecewa dan amat marah. Dia dan bapanya menghubungi polis dan meminta polis untuk datang mengambil anak mereka, jelas menunjukkan bahawa ibu bapanya tidak mahu Huckle berada sebumbung dengan mereka," O'Neill dilaporkan sebagai berkata pada hari kedua pendengaran, Khamis.

Maklumat grafik mengenai puluhan kesalahan seksual oleh Huckle muncul buat kali pertama pada Rabu ketika sesi pendengaran bermula di London.

AFP melaporkan bahawa penyiasat menjumpai lebih 20,000 gambar lucah dalam komputer Huckle.

Dia ditahan di Lapangan Terbang Gatwick pada Disember 2014 apabila pulang dari Malaysia untuk meraikan sambutan Hari Krismas.

Huckle berdepan 91 pertuduhan termasuk terhadap 23 kanak-kanak di Kuala Lumpur, lokasi dia dilaporkan bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris. Dia mengaku 71 daripada pertuduhan tersebut.

Suspek menjadikan bayi berusia antara enam bulan dan 12 tahun sebagai mangsa serta kesalahan itu didakwa dilakukan antara 2006 dan 2014.

Huckle dilaporkan mengambil gambar dan rakaman video dirinya mendera kanak-kanak yang kemudiannya dimuat naik dalam laman web gelap.

pedofilia, Richard Huckle

Artikel Lain