PUTRAJAYA: Pejabat kerajaan di Putrajaya berjaya mengurangkan bil elektrik sebanyak 6.5 peratus, melebihi sasaran pengurangan lima peratus yang ditetapkan pada awal tahun ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili. Beliau berkata pengurangan bil elektrik dijadikan petunjuk prestasi utama bagi agensi kerajaan. "Matlamat kementerian saya kini adalah untuk memperluaskan amalan pengurangan bil utiliti lain dan memperkenalkan kempen seperti itu di peringkat negeri dan sektor korporat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen 'Hijau Adalah Gaya Hidup' di Taman Botani di sini, Khamis. Di peringkat masyarakat, Ongkili berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan persatuan dalam mempromosikan kempen penjimatan tenaga. Selain persatuan, kementerian juga akan bekerjasama dengan pengusaha pasar raya dalam menawarkan insentif yang dapat mereka nikmati apabila mereka menjimatkan tenaga.