Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak D11 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ACP Ong Chin Lan berkata Bukit Aman telah pun meminta agensi jenayah berpejabat di London, National Crime Agency (NCA), untuk menyerahkan butiran kes berkenaan.
"Setakat ini mangsa belum dikenal pasti dan pihak NCA cuma maklumkan mengenai kejadian ini kira-kira sebulan lepas, tetapi tidak memberikan maklumat kerana kes masih dalam perbicaraan.
"Kami telah minta maklumat berkali-kali dan akan terus mendesak mereka beri butiran lanjut untuk tindakan susulan. Diharapkan selepas keputusan mahkamah pada Jumaat, pihak United Kindom dapat memberikan kami lebih banyak maklumat," katanya kepada Bernama.
BBC melaporkan bahawa prosiding untuk jatuh hukum terhadapnya bermula di London pada Rabu dan dijangka selesai esok (Jumaat).
Sebanyak 91 tuduhan dikenakan terhadapnya mengaitkan kepada 23 kanak-kanak kebanyakannya daripada komuniti miskin di Kuala Lumpur.
Dia mengaku terhadap 71 tuduhan.
Jurugambar itu berkata dia melawat Malaysia untuk program penempatan mengajar semasa dia berusia 18 atau 19 tahun sebelum dia melatih kanak-kanak untuk seks ketika melakukan kerja sukarela di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ong berkata satu program dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan telah dirancang untuk membantu mangsa.
"Mesyuarat telah diadakan bersama Protect and Save the Children bagi merancang program pendekatan, pemulihan dan kesedaran melibatkan komuniti yang pernah dia mengajar," katanya.
Beliau juga ditanya sama ada polis akan memohon Huckle untuk diekstradisi ke Malaysia.
"Kita tidak akan bicarakan dia (Huckle) di Malaysia kerana hukuman (yang bakal dijatuhkan) di United Kingdom adalah atas kesalahan yang dilakukan di Malaysia, tak boleh hukum dua kali," katanya.