“Beliau perlu menjaga sensitiviti kerajaan negeri kerana tiga exconya terdiri daripada PAS,” kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad semasa sidang akhbar, Khamis.
Tambahnya lagi, dengan kehadiran Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli sudah memadai dalam membantu proses berkempen.
Azmin juga tidak hadir semasa pengumuman Azhar Abdul Shukur sebagai calon Pakatan Harapan bagi PRK Sungai Besar, Rabu.
“Parti memutuskan bahawa Azmin mempunyai hak untuk menjaga kerajaannya,” kata Wan Azizah lagi.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata Amanah mengambil masa yang agak lama untuk mengumumkan calon bagi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana parti itu memerlukan masa secukupnya untuk berunding bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.
"Kami ikhlas mahu mengelakkan pertandingan tiga penjuru tetapi PAS tidak berminat untuk sebarang perbincangan atau rundingan," tambahnya lagi.
PAS telah menamakan Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman sebagai calon, manakala Barisan Nasional (BN) menamakan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi sebagai calonnya.
Menurut sumber, PAS terpaksa menamakan Dr Abdul Rani sebagai calon 'payung terjun' di Sungai Besar kerana tiada seorang pun pemimpin tempatan yang mahu bertanding dalam persaingan tiga penjuru itu.
Khalid berkata, Amanah memilih Azhar sebagai calon kerana pengundi sudah mengenalinya dan beliau juga disenangi ramai.
"Bapanya juga merupakan seorang guru di sebuah sekolah Cina di Sekinchan," kata Khalid.