suria

PAS Mahu Ubah Cara Berpolitik

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu melakukan perubahan politik cara lama berbanding yang dilakukan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) dalam usaha parti itu menawan Putrajaya, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, blok politik yang ada sebelum ini kebanyakannya diwarnai oleh dua warna hitam-putih sahaja iaitu sama ada kerajaan atau pembangkang dengan budaya politik masing-masing.

Jelasnya, kerajaan yang ada ini pula sifatnya sentiasa mempertahankan tindakan mereka, menolak peranan pembangkang dan kadang-kala dengan kekerasan dan paksaan ke atas rakyat.

"Manakala blok pembangkang pula sentiasa membangkang apa sahaja agenda kerajaan yang memerintah, walau kadangkala di sana ada yang baik dilaksanakan.

"Politiking yang melampau dan kasar ini kadang-kala menyebabkan rakyat tersepit, sehingga tidak lagi mempercayai janji politik samada dari pihak kerajaan atau pembangkang.

"Oleh itu, kita ingin keluar dari politik cara lama dan keterlaluan ini yang menyusahkan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS Ke-62 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di sini, Khamis.

Prinsip yang digariskan itu selaras dengan ketetapan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS yang menekan budaya politik matang dan sejahtera.

Abdul Hadi berkata, MSU telah pun mendepani prinsip dan dasar yang jelas dalam hubungan antara PAS dan pihak lain dengan membawa agenda tarbiyah-dakwah-siyasah oleh kepimpinan parti.

Tambahnya, MSU memperakukan prinsip dengan bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.

"Lapang dada dan bersikap terbuka untuk duduk semeja dengan semua pihak bagi membincangkan isu sejagat yang melibatkan kepentingan umat Islam, rakyat dan negara tercinta.

"Bersedia mengambil kebaikan dan menerimanya dengan baik meskipun ia datang dari pihak pemerintah serta bersiap sebagai 'government in waiting' serta berlaku adil terhadap semua meskipun terhadap lawan politik," ujar Abdul Hadi.

Artikel Berikut

Artikel Lain