KUALA LUMPUR: Hujan batu dilaporkan berlaku di kawasan Bukit Jalil ketika hujan lebat kira-kira pukul 6 petang Jumaat. Beberapa video kejadian itu dimuat naik orang ramai di laman media sosial termasuk Twitter dan Facebook. Sementara itu, hujan lebat sejak 5 petang Jumaat mengakibatkan beberapa laluan utma di ibu negara dilanda banjir kilat. Antara kawasan yang dilaporkan dinaiki air adalah di Jalan Kemuja berhampiran persimpangan Jalan Bangsar, Jalan Pantai Baharu, laluan dari KL Sentral menuju Hotel The St Regis dan Jalan Khidmat Usaha berhampiran Jalan Duta. Paras air meningkat ekoran hujan lebat itu menyebabkan aliran trafik sesak teruk, ditambah waktu puncak orang ramai pulang dari kerja. Bagaimanapun, air dilaporkan surut sepenuhnya termasuk di Jalan Duta, sejurus hujan reda kira-kira dua jam kemudian. Beberapa rumah juga dilaporkan mengalami kerosakan pada bumbung akibat angin kuat. Sementara itu warga ibu kota yang kebanyakannya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah turut berkongsi pengalaman masing-masing dan gambar kejadian melalui media sosial. Pengguna Twitter, 'faiqrusyaidie' menulis 'first time ever experiencing hujan batu...'. Seorang lagi pengguna Twitter, 'dayahmayah' turut berkongsi gambar dengan menulis, 'MashaAllah. hujan batu at my sister's office. Area Sg Besi. Praying and hoping that everyone's fine,'. 'First hujan batu experience ever. Literally soaked for almost 20 minutes,', tulis pengguna Twitter 'FazaaMohamad'. Pengguna Facebook 'Shahriza Mahmud', dalam pada itu turut berkongsi rakaman video kejadian berkenaan yang berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Serdang.