KUALA KANGSAR: "Insya-Allah, emak saya akan teruskan perjuangan ayah untuk parti....". Itulah kata-kata yang sering diungkapkan Wan Emir Astar, 26, anak kepada calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Abd Yazid untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar, setiap kali bertemu penduduk di kawasan berkenaan. Anak muda yang menggalas tanggungjawab besar itu sedar akan kekangan ibunya yang masih dalam edah selepas kematian bapanya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, korban nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas. Biarpun raut wajahnya masih bersedih atas kehilangan itu, namun senyumannya tetap terukir. Wan Emir, bersama tiga adiknya, Wan Imar Izzat, 25, Wan Iskandar, 23, dan Wan Muhammad Amar, 19, jelas tidak kekok berhadapan orang ramai dan beramah mesra dengan penduduk. Penduduk kawasan berkenaan yang ditemui Bernama, turut menzahirkan simpati kepada mereka, selain memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada ibu mereka bagi meneruskan perjuangan membela penduduk kawasan itu. Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan Adun Manong, Kamil Shafie (yang terletak di bawah kawasan Parlimen Kuala Kangsar) ketika ditemui Bernama berkata mereka yakin pengundi di situ akan terus menyokong perjuangan anak-anak Allahyarham dan Mastura demi kelangsungan agenda pembangunan. Maslin Sham berkata jentera kempen BN tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkempen walaupun Mastura tidak dapat turut serta. "Kehadiran anak-anak Datin Mastura mewakili ibu mereka sudah mencukupi. Mereka (anak-anak Mastura) juga sudah biasa dengan penduduk dan politik di sini," katanya. Sementara itu Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata Pemuda Umno akan terus membantu anak-anak Mastura dalam kempen PRK itu, terutama dalam menangkis segala tohmahan terhadap ibu mereka yang disebarkan menerusi media sosial. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon Ahad ini. - BERNAMA