PUTRAJAYA: Polis menahan pemilik dan bekas pekerja sebuah taska di Presint 15 di sini, Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes bayi yang disyaki didera dengan gambar mereka menjadi viral dalam laman sosial. Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata pihaknya sedang mengesan seorang lagi bekas pekerja wanita setelah gambar kes dera dua bayi itu tersebar dalam laman sosial sejak Khamis. Beliau berkata pemilik taska berumur 27 tahun itu ditahan di pusat asuhannya di sini pada 2 petang Jumaat manakala bekas pekerjanya yang berumur 21 tahun ditahan di Kajang, Selangor pada 4 petang Jumaat. Polis juga merampas dua unit telefon bimbit jenama ASUS Z007 bersama bateri, kad sim dan kad memori milik dua wanita itu. "Kedua-duanya masih disoal siat dan usaha menangkap seorang lagi suspek sedang dilakukan. Mereka akan ditahan di lokap Jinjang sementara mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Jumaat. Rosly berkata dua wanita itu ditempatkan di lokap Jinjang kerana Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya tidak mempunyai lokap untuk tahanan wanita dan kes itu disiasat oleh IPD Putrajaya. Kes dera itu didakwa melibatkan seorang bayi lelaki berumur 13 bulan dan bayi perempuan berumur empat bulan. Sebelum ini, Rosly berkata pemilik taska itu menghantar gambar bayi lelaki dengan kesan lebam pada mukanya melalui aplikasi WhatsApp kepada ibu bayi itu, seorang pegawai kerajaan, pada 4.10 petang 25 Mei lepas. Pada pukul 8.42 malam, beliau menerima satu lagi WhatsApp daripada pekerja taska yang memaklumkan anaknya didera pemilik taska. Pada Selasa lepas, pihaknya menerima laporan polis daripada pemilik taska itu setelah dia menerima WhatsApp bergambar berhubung kanak-kanak didera di taska itu. "Pemilik taska mengesyaki perbuatan itu dilakukan dua bekas pekerjanya berumur awal 20-an, yang melarikan diri pada Sabtu lepas, sebelum mereka menyebarkan gambar seorang bayi perempuan yang mulutnya ditutup dengan kain lampin dalam Internet," katanya. Ibu bayi lelaki itu turut membuat aduan polis berhubung kesan lebam pada muka anak lelakinya akibat didera. Polis juga menerima laporan polis daripada bekas pekerja taska pada Rabu lepas yang menafikan mereka mendera kanak-kanak di taska itu sebaliknya mendakwa pemilik taska yang mendera kanak-kanak itu. - BERNAMA