KUALA LUMPUR: Pembentangan usul Rang Undang-undang Persendirian berkaitan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 tidak akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) meraih sokongan pengundi bukan Melayu dalam dua pilihan raya kecil (PRK) pada 18 Jun ini. Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan Wanita Umno akan turun padang untuk memberikan penjelasan mengenai RUU tersebut kepada pengundi sewaktu berkempen di PRK Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor. "RUU ini mungkin akan menjadi isu tetapi kita akan memberi penjelasan. RUU tersebut sebenarnya bukan hudud seperti yang digempar-gemburkan oleh pihak pembangkang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Festival India Global 2016 di sini, hari ini. RUU itu dibentang oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga Ahli Parlimen Marang, di Dewan Rakyat, Khamis lepas. Shahrizat turut merayu kepada pengundi agar terus memberikan mandat kepada calon BN bagi kedua-dua pilihan raya itu. Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas. Datin Mastura Mohd Yazid merupakan calon BN di Kuala Kangsar manakala Budiman Mohd Zohdi, calon BN di Sungai Besar. Mengenai Festival India Global itu, Shahrizat, yang juga Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, berkata festival kali ke-14 itu adalah platform terbaik bagi mendapatkan produk India di negara ini dengan harga berpatutan. Beliau juga mengingatkan para usahawan supaya menghargai kestabilan dan keamanan negara yang mewujudkan suasana harmoni bagi mereka untuk menjalankan perniagaan. Festival anjuran Agenda Suria Communication itu akan berlangsung sehingga Ahad ini di Tapak Pameran Mid Valley itu dengan mempamerkan pelbagai produk seperti tekstil, barangan perhiasan, makanan dan minuman melalui 300 tapak pameran.