suria

Hujan Batu Fenomena Biasa

KUALA LUMPUR: Kejadian hujan batu di beberapa kawasan di ibu negara dan Selangor petang Jumaat bukanlah sesuatu yang luar biasa, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau.

Beliau berkata hujan batu boleh berlaku ketika hujan ribut petir yang kuat dan apabila awan kumulonimbus (sumber utama pembentukan hujan ribut petir) mencapai ketinggian 40,000 kaki.

"Oleh itu, suhu udara melepasi ambang takat beku dan titis-titis hujan yang terbentuk boleh menjadi ketulan-ketulan air batu yang bersaiz sekitar 1.5 sentimeter iaitu sebesar guli," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Menurutnya hujan batu biasanya berlaku setempat iaitu di kawasan yang berada di bawah awan kumulonimbus dan tempohnya juga singkat iaitu kira-kira 20 minit sahaja.

Berdasarkan rekod Stesen Meteorologi Petaling Jaya, hujan berukuran 60.2 milimeter berlaku dari 4 petang hingga 7 malam Jumaat manakala kekuatan angin dicatatkan mencapai 46.8 kilometer sejam pada 5 petang, yang menyebabkan berlakunya hujan batu itu.

Madius Tangau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berada dekat dengan tingkap dan menyarankan mereka mencari tempat perlindungan di bawah struktur kukuh seperti jambatan jika kejadian sama berulang. - BERNAMA

hujan batu, Madius Tangau

Artikel Lain