suria

IOJ Edar 500 Pek Makanan Program Jom Sahur!

KUALA LUMPUR: Sebanyak 500 pek makanan akan diedarkan kepada golongan kurang berkemampuan dan gelandangan di sekitar ibu negara melalui program Jom Sahur!, sepanjang Ramadan ini.

Program anjuran Institut Onn Ja'afar (IOJ) itu diadakan setiap Rabu bermula 1 hingga 2 pagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IOJ, Charles Mohan berkata pengagihan akan dilakukan secara serentak di tiga lokasi iaitu di KL Krash Pad di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Hang Lekiu berdekatan Jalan Tun H.S Lee, serta di Pusat Transit Gelandangan di sini.

"Selain meraikan golongan tidak berkemampuan, program ini bertujuan menyuburkan rasa tanggungjawab membantu golongan ini di kalangan generasi muda, di samping mengambil kesempatan dalam mempertingkatkan pahala ibadah," katanya dalam kenyataan.

Charles berkata seramai 43 sukarelawan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka dan Universiti Kuala Lumpur turun padang menghulurkan tenaga dalam minggu pertama program ini.

Katanya, universiti lain yang turut terlibat ialah Universiti Selangor (UNISEL), Twintech International University College of Technology, Help University, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dan Management and Science University (MSU).

Artikel Lain