MELAKA: Gelagat seorang anak yatim yang membeli alas meja untuk ibunya ketika diraikan oleh sebuah pasar raya di sini, Isnin bersempena Ramadan menyentuh hati Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. "Sangat menyentuh hati saya, ketika saya membuka beg (anak yatim itu) tadi, ada alas meja yang dibeli untuk mak dia. "Dia membeli bukan hanya untuk diri sendiri, tapi anak ini amat matang kerana membeli untuk keperluan rumah, saya terharu dan sangat-sangat menyentuh hati," katanya kepada pemberita selepas program beli-belah bagi anak yatim dan anak golongan kurang kemampuan bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah. Pada program itu sebanyak 200 anak yatim dan anak golongan kurang berkemampuan diberikan baucar bernilai RM200 setiap seorang. Mas Ermieyati yang juga anggota Parlimen Masjid Tanah dan Ketua Puteri Umno berharap masyarakat yang berkemampuan dapat berkongsi dengan mereka yang kurang berkemampuan. "Di samping itu dapat juga kita sama-sama muhasabah diri... yang pada perayaan ini, perlulah dikongsi dengan orang yang kurang berkemampuan," katanya. Beliau berkata, program tanggungjawab sosial sebegini merupakan medium terbaik dalam mendekatkan diri kepada golongan yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan. Mas Ermieyati berkata, penglibatan Puteri Umno bukanlah hanya dalam soal politik semata-mata tetapi juga dari sudut kerohanian, ekonomi dan sosial. - Bernama