suria

PRK Kuala Kangsar: Paraglider Tiada Kebenaran DCA - Polis

Paraglider yang membawa bendera Barisan Nasional (BN) dan Umno kelihatan berlegar di udara di sekitar pusat penamaan calon PRK Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak. -fotoBERNAMA

KUALA KANGSAR: Polis menerima laporan mengenai dua orang paraglider yang berlegar-legar di ruang udara ketika proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar berlangsung di Dewan Jubli Perak, di sini pada Ahad lalu.

Jurucakap polis bagi PRK Kuala Kangsar ACP Shaharon Anuar Abdul Latiff berkata hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kelulusan penerbangan paraglider dikeluarkan oleh pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Perkara ini telah disahkan oleh pegawai bertugas di Pusat Kawalan Trafik Udara, Ipoh dan tiada sebarang 'notice to airmen' (NOTAM) dikeluarkan oleh pihak DCA Putrajaya.

"Usaha untuk mengesan suspek yang menerbangkan paraglider sedang dijalankan," katanya yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, dalam kenyataan media di sini.

Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Peraturan 143 Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Dalam pada itu, Shaharon Anuar berkata situasi keselamatan di sekitar Kuala Kangsar adalah tenang dan terkawal tanpa sebarang insiden yang menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan untuk mengadakan ceramah daripada parti-parti yang bertanding.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya berkempen secara sopan dan tidak keterlaluan sepanjang kempen pilihan raya diadakan.

"Hanya calon bertanding atau agen calon sahaja dibenarkan membuat permohonan permit aktiviti kempen dan perlu mematuhi arahan polis.

"Mereka juga perlu mengelak perlakuan provokasi atau menggunakan kata-kata kesat serta membangkitkan isu sensitif seperti isu perkauman dan keagamaan terhadap mana-mana individu sepanjang masa berkempen," katanya.

Artikel Lain