suria

"Guna PAN, Media Jangan Aniaya Amanah" - Ahmad Termizi

KUALA KANGSAR: Parti Amanah Negara (Amanah) meminta media tidak melakukan penganiayaan dengan menggunakan PAN sebagai akronim parti tersebut.


Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli berkata, tiga akhbar dikesan menggunakan PAN bagi merujuk parti berkenaan walaupun beberapa teguran telah dibuat.

"Seperti yang telah dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), singkatan bagi Parti Amanah Negara ialah Amanah dan bukanlah PAN seperti yang digunakan akhbar tertentu.

"Oleh itu kami meminta akhbar-akhbar ini supaya tidak menganiaya kami dengan terus menggunakan PAN.

"Ini satu penganiyaan kerana ia akan mengelirukan pengundi. Pada kertas undi hanya ditulis calon Amanah dan bukan PAN. Saya bimbang pengundi keliru, janganlah aniaya kami," katanya pada sidang media di bilik gerakan Amanah di sini Rabu.

Sementara itu, Ahmad Termizi mendedahkan, Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media yang didakwa memutarbelitkan kenyataannya dalam ceramah di Sayong Lembah pada Isnin malam.

Menurutnya, berdasarkan rakaman ceramah itu, Mohammad Nizar didakwa tidak mengutuk mana-mana pihak sebaliknya hanya mahu pengundi Kuala Kangsar menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRK kali ini.

"Beliau (Mohammad Nizar) mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media yang memutarbelit kenyataan dalam ceramah ini.

"Kerana apa yang sebenarnya berlaku bukanlah seperti yang didakwa oleh media khsusnya akhbar arus perdana," jelas beliau.

Artikel Lain