KUALA LUMPUR: "Saya tidak tahu nasib kami sekeluarga untuk berniaga selepas ini bagi mencari rezeki meneruskan hidup," luah seorang peniaga gulai kawah yang gerainya musnah dalam kebakaran di Jalan AU2 B, Taman Keramat, Hulu Klang, di sini, Rabu petang. Peniaga wanita berusia 25 tahun itu, yang enggan dinamakan, berkata ketika itu berliau bersama keluarganya sedang berehat di dalam gerai untuk berniaga di bazar Ramadan Keramat dan terhidu seakan benda yang terbakar. "Ketika itu saya sedang berehat bersama keluarga tiba-tiba bau hangit datang dari arah dapur dan saya lihat api besar sedang marak. "Saya terkejut melihat api dan memanggil ahli keluarga yang lain untuk keluar menyelamatkan diri tetapi tidak untuk mengambil barang-barang lain kerana hangus dalam sekelip mata," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian. Beliau yang tujuh tahun berniaga di Taman Keramat berkata selain gerainya yang terbakar, lima gerai sederet dengan gerainya turut terjejas. Seorang peniaga jamu, Che Umi Mohd Hashim, 49, yang turut ditimpa dengan kejadian yang sama berkata gerai jamunya yang baru sahaja dibuka enam bulan lepas turut musnah. "Saya terkedu apabila menerima panggilan daripada pekerja saya memaklumkan gerai saya terbakar dan mengetahui kejadian ini pada pukul 4.30 petang tadi," katanya. Che Umi menyifatkan kejadian itu sebagai satu dugaan baginya dalam meneruskan perniagaan meskipun baru membuka cawangan baharu di deretan gerai di Taman Keramat. Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3 petang tadi dan tiba 12 minit kemudian di lokasi kejadian. "Selepas menerima panggilan, saya segera mengerahkan seramai 15 anggota bomba dari balai Keramat dan Setapak serta dua buah jentera FRT untuk ke lokasi. "Ketika tiba, api marak dengan pantas menyambar gerai bersebelahan serta sebuah kereta jenis Ford Ranger dan bomba mengambil masa selama 20 minit untuk mengawal api," katanya. Samsol berkata punca kebakaran sedang disiasat manakala jumlah sebenar kerugian gerai itu masih dalam siasatan. -- Bernama