suria

Sabotaj MyIMMs: Pegawai, Anggota Imigresen Di Pintu Masuk Negara Ditukarkan

KUALA LUMPUR: Proses pertukaran pegawai dan anggota Jabatan Imigresen yang bertugas di pintu masuk negara sedang dilaksanakan bagi mengelak kegiatan sabotaj Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) berulang.

Tanpa mendedahkan bilangan mereka yang telah ditukarkan, Ketua Pengarahnya Datuk Seri Sakib Kusmi berkata proses pertukaran tempat kerja itu dilaksanakan secara berperingkat di pintu masuk negara terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

"Proses pertukaran tempat kerja telah kami lakukan sejak minggu lepas dan ia dibuat secara berperingkat, tidak boleh buat sekali gus.

"Proses pertukaran tempat kerja di pintu masuk negara memang kami laksanakan setiap masa bagi mengelak kegiatan tidak bermoral," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lima pegawai Imigresen yang ditahan polis di KLIA pada Rabu lepas kerana disyaki mensabotaj myIMMs.

Sementara itu, Sakib berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan lanjut terhadap lima pegawai yang ditahan itu.

"Biar polis lakukan siasatan terlebih dahulu," katanya.

Pada Khamis, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua lima pegawai Imigresen itu ditahan bagi membantu siasatan dan operasi untuk mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan mensabotaj sistem myIMMs akan diteruskan.

Pada 31 Mei, Sakib dilaporkan berkata seramai 37 pegawai Jabatan Imigresen dikenakan tindakan tatatertib sejak Februari lepas kerana terlibat dengan kegiatan mensabotaj myIMMs.

Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 menyatakan myIMMs yang dibangunkan bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen kurang memuaskan dan menyebabkan objektifnya terjejas. - BERNAMA

Artikel Lain