suria

Dua Petugas PAS Maut Ketika Melintas Ke Surau Pagi Tadi

Riduan Sharif (kiri) bersama bapanya Sharif Din.

SUNGAI BESAR: Dua petugas jentera PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen di sini meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, dipercayai akibat langgar lari.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad berkata, mangsa iaitu Sharif Din dan anaknya Riduan Sharif sedang melintas jalan untuk ke surau bagi menunaikan solat Subuh apabila dilanggar sebuah kereta.

Beliau berkata, Sharif adalah Setiausaha Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Hulu Langat.

Katanya, kejadian berlaku berdekatan Markas PAS Hulu Langat, Parit 8, Sungai Leman Darat dekat sini awal pagi Jumaat.

“Jenazah kini berada di Hospital Tanjung Karang dan akan dibawa balik ke Hulu Langat untuk dikebumikan,” katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Difahamkan, Sharif dan anaknya melambung apabila dilanggar kereta yang bergerak laju. Kedua beranak itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Iskandar yang juga naib presiden PAS berkata, setakat ini empat petugas PAS untuk PRK Sungai Besar telah meninggal dunia, termasuk dua sebelum hari penamaan calon 5 Jun lalu.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berasa sedih dengan kejadian ini,” katanya.

Selain itu, kata Iskandar, adalah tidak sopan untuk sesetengah pihak membuat beberapa tuduhan tidak berasas terhadap PAS, termasuklah dakwaan PAS hanya bertanding untuk beradu kekuatan dengan Amanah.

“Kita serius menyertai PRK ini, adalah tidak adil atau tidak sopan untuk sesiapa menyatakan bahawa kita masuk PRK ini sebab suka-suka," katanya.



Iskandar Samad, PAS, Hulu Langat

Artikel Lain