suria

Projek Perintis Sasar Ambulans Tiba 15 Minit

Pembantu perubatan Muhd Firdaus Manaf (kiri) dan Muhammad Faiz Maula menyediakan peralatan di pusat kendalian MRSC di Masjid Al Husna, Sunway. — AZHAR MAHFOF/The Star

PETALING JAYA: Masalah menunggu lama ketibaan ambulans ketika kecemasan mungkin akan berakhir apabila projek perintis memperkenalkan perkhidmatan itu yang dijangka mampu sampai dalam masa kurang 15 minit.

Ia hasil kerjasama St John Ambulance Malaysia (SJAM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (MRCS).

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai, rawatan kecemasan akan menjadi effisen menerusi gabungan dua badan tersebut.

"Kami menyasarkan untuk pasukan rawatan kecemasan tiba kurang dari 15 minit atau mungkin juga dalam masa 10 minit selaras dengan piawaian antarabangsa.

Beliau mengulas lanjut berhubung dengan kes ambulans yang lewat 45 minit untuk sampai ke lokasi.

Bagi mempercepatkan proses, Kementerian Kesihatan telah memulakan projek penempatan ambulans SJAM dan MRCS di lokasi yang sering menerima panggilan kecemasan (MERS999).

Antara lokasi yang menempatkan ambulans ialah plaza tol, masjid dan tempat-tempat yang dipenuhi orang ramai.

"Menerusi MERS999, kami dapat mengesan panggilan di seluruh negara untuk bantuan perkhidmatan ambulans.

"Berdasarkan data yang dikumpul, kami dapat mengenalpasti lokasi yang sering menerima panggilan kecemasan dimana ianya berubah-ubah mengikut masa tertentu.

Projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sejak 2014, lima hospital di Lembah Klang iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang, Hospital Ampang dan Hospital Sungai Buloh telah menjalankan projek penempatan ambulans di beberapa lokasi tumpuan awam.

Seterusnya ia telah diperkenalkan di Melaka dan Pulau Pinang.

Dr Jeyaindran berkata, gabungan SJAM dan PBSM secara tidak langsung akan meningkatkan jumlah ambulans dan mempercepatkan bantuan kecemasan.

"Kami juga sedang berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mempunyai 200 ambulans di balai bomba seluruh negara," katanya.

Jelasnya lagi, kementerian sedang melatih pegawai jabatan untuk pengetahuan asas dalam rawatan kecemasan jika berhadapan dengan pesakit yang memerlukan.

Tambahnya, kos untuk sebuah ambulans yang mempunyai peralatan serba lengkap berjumlah RM400,000 dan kos untuk setiap lokasi tumpuan awam berjumlah RM250,000.

Sementara itu, Perunding Kecemasan HTAR, Dr Ahmad Tajuddin Mohamad Nor yang mengetuai projek ini berkata, ambulans yang dsisediakan mampu merawat pesakit dengan pantas.

"Ambulans ini dilengkapi dengan alat bantuan pernafasan dan juga peralatan untuk merawat pesakit yang menghidap penyakit jantung," katanya.

Selain itu, Dr Ahmad Tajuddin memaklumkan projek tersebut menjadikan salah satu pembaharuan bagi perkhidmatan awam selaras Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada 2014.



MRCS, SJAM, ambulans

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain