SUNGAI BESAR: Suasana tenang pekan nelayan di Sekinchan berubah sibuk berikutan kemunculan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membantu kempen calon pembangkang pada pilihan raya kecil di sini, pagi Sabtu. Dr Mahathir yang ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tiba di restoran Hao Xiang Chi bagi menghadiri kolokium gerakan Deklarasi Rakyat. Ini adalah kali pertama Dr Mahathir melakukan kempen secara terbuka menentang Barisan Nasional selepas keluar dari Umno. Kolokium anjuran DAP itu turut dihadiri pemimpin Pakatan Harapan termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib. Kedua-dua Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah duduk di bahagian depan dan diapit calon Amanah, Azhar Ab Shukur serta isteri.