suria

Calon Amanah Dan Kisah ‘Tangan’ Orang Sungai Besar

Azhar Abdul Shukur (kanan). Foto: FAIHAN GHANI/The Star.



SUNGAI BESAR:
Pihak pembangkang terus menggunakan ceramah sebagai medium kempen pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Besar, dan yang terbaru calon Parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Ab Shukur bercakap tentang ‘tangan’ dalam ucapannya.

Azhar yang hadir pada Ceramah Umum Pakatan Harapan, malam Jumaat, menggambarkan tangan pengundi yang akan turun mengundi pada 18 Jun nanti sebagai sesuatu yang amat berharga.

Katanya, pengundi di Sungai Besar bertuah kerana terpilih dan berpeluang memangkah undi dengan tangan mereka, satu  peluang yang ditunggu-tunggu orang lain."Ramai yang sudah tidak sabar untuk mengundi bagi membawa perubahan terhadap masa depan negara.

“Tangan kita hari ini tak murah, tangan kita hari ini ramai yang ingin nak ambil.>> “Mereka nak tolong undi, tapi kita yang diberi peluang ini, bagi mewakili generasi akan datang,” katanya ketika berucap di hadapan orang ramai, di bahagian luar sebuah restoran di sini.

Selain Azhar, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad turut menyampaikan ucapan masing-masing.

Azhar kemudiannya menyambung lagi kisah ‘tangannya' di mana beliau berkata, tangan pengundi-pengundi di Sungai Besarlah yang akan mencatatkan sejarah dalam politik negara kerana menyaksikan Amanah dan Pakatan Harapan pertama kali bertanding dalam pilihan raya.

“Kita perlu bersatu untuk membentuk sejarah baharu tapi ketentuan akhirnya terletak pada tangan tuan-tuan dan puan-puan.

“Berbanggalah kerana suatu hari nanti tercatat dalam sejarah, tangan tuan-tuan dan puan-puanlah yang memulakan titik perubahan di Malaysia ini,” katanya.

Artikel Lain