suria

150 Biji Durian Dicuri, Pemilik Dusun Rugi RM10,000

Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI: Seorang pemilik dusun durian kerugian kira-kira RM10,000 selepas 150 biji durian pelbagai jenis di dusunnya yang terletak di Gurun, dekat sini, dicuri awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata, kejadian itu hanya disedari selepas mangsa yang berusia 44 tahun itu membuat rondaan antara 5 pagi dan 7 pagi.

"Mangsa membuat rondaan pada 5 pagi dan mendapati buah yang luruh tiada dan rondaan pada 7 pagi pula mendapati terdapat kesan pagar dipotong.

"Siasatan awal mendapati terdapat lima pekerja berada di dusun itu ketika kejadian dan mereka sedang tidur tanpa menyedari berlakunya kecurian," katanya kepada Bernama, Ahad.

Md Zukir berkata, dusun milik mangsa seluas 12.14 hektar itu berpagar dan mempunyai 2,000 pokok durian termasuklah jenis Musang King, 101, Duri Hitam dan durian kampung.

"Terdapat tiga seksyen A, B dan C, dan kejadian kecurian dipercayai hanya berlaku di kawasan A dan C yang terletak di kawasan terpencil dan agak jauh dari jalan utama," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Lain