SUNGAI BESAR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi pentas dengan DAP dan berkempen untuk calon Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar sebagai tidak masuk akal. Katanya, tindakan bekas Perdana Menteri itu juga dilihat tidak konsisten dengan pendiriannya yang mana selama ini tidak pernah menyokong DAP. "Bagi saya, Amanah itu adalah DAP dan dalam sepanjang karier politik saya, saya tidak pernah dengar Tun Mahathir menyokong DAP, tapi semalam beliau berada di atas pentas Amanah, menidakkan parti-parti pembangkang yang lain untuk menyokong Amanah. "Hari ini saya difahamkan beliau berada di Kuala Kangsar (untuk berkempen di sana) dan kalau isunya yang dibangkitkan sama sahaja, seperti semalam (di Sungai Besar, saya rasa ramai yang sudah tahu pun," katanya kepada pemberita selepas melawat dan bertemu masyarakat Cina di Kampung Baru Kian Sit, Sekinchan, di sini, Ahad. Pada Sabtu, Dr Mahathir berada di Sekinchan, di sini dan mengisytiharkan sokongannya kepada calon Amanah dalam PRK Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur serta menggunakan pentas DAP berkempen untuk calon tersebut. Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, hala tuju Dr Mahathir juga tidak jelas dengan pelbagai kenyataannya lebih tertumpu untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Menurutnya, hujah-hujah Dr Mahathir itu tidak akan mempengaruhi pengundi sama ada di Sungai Besar atau Kuala Kangsar kerana perkara penting yang hendak diputuskan adalah mengenai masa depan kedua-dua kawasan tersebut. - Bernama