suria

Beralih Daripada Pen Kepada PIN

KUALA LUMPUR: Ciri keselamatan bagi penggunaan kad kredit dan debit akan dipertingkatkan apabila sistem berasaskan tandatangan bakal digantikan dengan pengesahan nombor pengenalan peribadi (PIN).

Kira-kira 39 juta iaitu lapan juta kad kredit dan 31 juta kad debit akan digantikan dengan kad baharu berasaskan PIN menjelang Januari 2017 seperti yang ditetapkan Bank Negara.

Sementara itu mesin pembayaran kad atau merchant terminal juga akan dinaik taraf untuk menampung sistem keselamatan baharu berkenaan.

Usaha besar-besaran sudah pun berlangsung dengan pemegang kad kredit menerima kad baharu mereka secara berperingkat manakala pengguna kad debit secara amnya perlu pergi ke bank masing-masing untuk membuat penukaran.

Reka letak baharu kad debit.
Peralihan daripada sistem tandatangan kepada PIN adalah sebahagian daripada perubahan di seluruh dunia yang telah dilaksanakan di Eropah, Kanada, Australia dan New Zealand.

Amerika Syarikat bagaimanapun masih menggunakan sistem lama iatu pengesahan tandatangan.

"Ini adalah satu langkah pencegahan penipuan," kata Paul Brisk, pengarah sistem perunding pembayaran Cotignac yang mengendalikan peralihan sistem berkenaan di Malaysia.

"Sebab itu Amerika Syarikat merupakan salah satu negara yang paling banyak berlakunya kes-kes penipuan kad kredit kerana ia masih bergantung kepada pengesahan tandatangan," katanya dalam satu temubual.

Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM), Chuah Mei Lin berkata sistem pengesahan PIN sangat berguna apabila belakunya kes kehilangan atau kecurian kad.

Sementara itu katanya isu kad klon telah ditangani dengan EMV (Europay, MasterCard, Visa) yang diperkenalkan di sini antara tahun 2002 dan 2005.

"Cip EMV membantu mengurangkan penipuan kerana ia adalah sangat sukar dan mahal untuk dipalsukan.

"Apabila transaksi dilakukan dengan membaca cip, ia menghasilkan kriptogram unik dalam sesuatu masa tertentu yang kemudiannya perlu disahkan sebelum transaksi diluluskan," jelas Chuah.

Brisk berkata sistem pengesahan PIN menambah satu lagi lapisan keselamatan tambahan kerana ia merupakan sistem serampang dua mata - menggabungkan kad fizikal dan PIN yang hanya diketahui oleh pengguna.

"Di negara-negara yang telah memperkenalkan sistem ini, ia adalah amalan biasa bagi pengguna untuk memasukkan kad mereka sendiri di terminal.

"Urus niaga ini adalah lebih cepat dan lebih selamat," katanya.

Artikel Lain