suria

Kit Siang Tidak Kasih Kepada Mat Sabu, Amanah - Shabery Cheek

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

SUNGAI BESAR: Lim Kit Siang tidak pernah mempunyai rasa kasih kepada parti-parti sekutunya, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery berkata penasihat DAP itu kini bersama Pakatan Harapan dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir kerana beliau hanya memerlukan kuda tunggangan untuk mencapai matlamatnya dalam politik.

"Kit Siang pada asalnya tidak ada kasih pada Datuk Seri Anwar Ibrahim, PAS dan percayalah tidak ada kasih pun pada Mat Sabu dan pemimpin Amanah (Parti Amanah Negara).

"Kit Siang ada matlamat dia, matlamat yang dikehendaki parti DAP. Tetapi Kit Siang sedar kalau bersendirian mereka tidak dapat apa-apa, mereka perlukan kuda untuk ditunggang,” katanya kepada pemberita di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar di sini, Ahad.

Beliau ditanya tentang tindakan Dr Mahathir yang kini berkerjasama dan sanggup berkongsi pentas dengan Kit Siang yang pernah menjadi musuhnya, serta parti pembangkang untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata Dr Mahathir dan pemimpin Amanah kini menjadi kuda baharu DAP selepas Anwar dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menjadi kuda tunggangan parti itu suatu masa dulu.

"Mereka rasakan untuk DAP bercakap sendiri tidak ke mana, mereka ada jurucakap baharu yang harus diperkudakan," katanya.

Dalam masa yang sama, Ahmad Shabery berkata Dr Mahathir juga memerlukan kuda untuk ditunggang selepas bersendirian dan gagal menarik besar rakyat selepas keluar daripada BN.

Kuda yang beliau nampak tidak ada kuda besar, mungkin kuda tua seperti Kit Siang yang diharap boleh ditunggang dan kuda-kuda yang patah kaki, serpihan PAS iaitu Amanah," katanya.

Tambahnya, beliau melihat PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar kini menjadi pesta ‘siapa tunggang siapa’ dan bukan lagi soal matlamat menjatuhkan BN.

Jadi kalau kita lihat fenomena yang ada sekarang ini bukan lagi soal politik, tetapi soal siapa boleh tunggang siapa.

"Tun Mahathir mengharapkan dia ada kuda yang perlu ditunggang dan yang lain pula harap dapat menunggang dia. Jadi, dalam PRK Sungai besar dan Kuala Kangsar saya melihat ada suatu pesta siapa menunggang siapa dan ini adalah satu perkara yang menarik," katanya.

Katanya, matlamat PAS dan Amanah bukan lagi melawan BN, tetapi mahu membuktikan kepada penduduk di kawasan ini siapa yang lebih kuat.

Beliau berkata PAS juga mahu membuktikan parti serpihannya tidak boleh hidup dan tidak boleh kemana.

Artikel Lain