BUTTERWORTH: Orang ramai berpeluang melihat dengan lebih dekat khazanah kesenian Islam dan barangan Rasulullah menerusi Pameran Mahrajan Tabarruk Warisan Salafussoleh yang akan berlangsung tiga hari di sini bermula 17 Jun ini. Pameran julung kalinya itu adalah inisiatif Yayasan Restu dan akan diadakan di Yayasan Restu Wilayah Utara di Masjid At-Taqwa Mak Mandin, di sini. Pengerusi yayasan itu Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata lebih 30 jenis barang kesenian Islam termasuk beberapa barangan peribadi Rasulullah akan dipamerkan yang dibawa khas dari India yang disimpan dari zaman kegemilangan kerajaan silamnya iaitu Dinasti Mughal. "Antara barangan peninggalan Rasulullah SAW yang akan dipamerkan ialah replika pedang yang digunakan, dua helai rambut, bekas tapak kaki dan cebisan serban serta capal baginda. "Selain itu akan turut dipamerkan adalah cebisan penutup Kaabah yang berusia lebih 1,000 tahun dan kami turut menyediakan pameran dan demonstrasi penyalinan manuskrip al-Quran yang akan dilakukan petugas dari Yayasan Restu, katanya pada sidang akhbar di sini, Ahad. Abdul Latiff berkata objektif utama penganjuran program itu adalah untuk memberi peluang orang ramai, khususnya umat Islam mendekati dan melihat sendiri keunikan seni dan khazanah Islam yang menjangkau usia ribuan tahun. Pihaknya juga berharap pameran seumpama itu dapat dihayati oleh masyarakat Islam untuk mencintai Rasulullah dengan kecintaan sebenar, selain memberi pendedahan mengenai kesucian agama kepada masyarakat bukan Islam, katanya. "Mudah-mudahan usaha ini dapat mencapai matlamat melahirkan masyarakat yang harmoni dan cinta kepada keamanan seperti dituntut dalam Islam, katanya. Beliau berkata bayaran masuk untuk pameran itu ialah RM10 bagi dewasa manakala RM5 bagi kanak-kanak. "Potongan sehingga 50 peratus harga tiket akan diberikan kepada 300 pengunjung pertama dan sasaran utama kami iaitu menarik kunjungan sekurang-kurangnya 50,000 orang, katanya.