suria

Empat Mangsa Culik Selamat Tiba Di Sibu

SIBU: Empat rakyat Sarawak yang diculik dan kemudiannya dibebaskan oleh penculik Kumpulan Abu Sayyaf, tiba di rumah mereka.

"Kami semua amat letih sekarang. Beri kami ruang. Kami akan mengadakan sidang media pada pukul 10 pagi esok (Rabu)," kata Wong Chie Ming, bapa kepada dua beradik dan Tommy Lau, abang kepada Johnny kepada pemberita di kediaman mereka di sini, Selasa.

Wong Teck Kang, 31; Wong Teck Chii, 29; Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34, diculik dari kapal tunda MV Massive 6 oleh sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Sabah pada 1 April lalu.

Mereka dibebaskan minggu lalu.

Pesawat Maswing yang membawa mereka dari Kota Kinabalu selamat mendarat di sini kira-kira pukul 9.45 pagi Selasa.

Kesemua mereka kelihatan letih tetapi dalam keadaan baik.

Mereka dibawa memasuki kereta yang sudah lama menunggu dan meninggalkan lapangan terbang.

Ahli keluarga keempat-empat mangsa tiba di lapangan terbang sejak pukul 7.40 pagi.

Upacara ringkas tradisional Cina diadakan di rumah masing-masing untuk menyambut kepulangan mereka.

Isteri Teck Kang, Le Thi Thunh Thuy, 27, berkata dia amat gembira kerana suaminya sudah kembali dengan selamat selepas diculik lebih dua bulan.

"Saya amat gembira kerana dia akhirnya pulang ke rumah. Terima kasih kepada semua (pemberita) yang mengetengahkan kes ini," katanya.

Bapa kepada Hung Sing, Wong Si Thong, 59, akan menasihati anaknya itu supaya berhenti daripada menjadi anak kapal mulai hari ini.

"Dia tidak mandi selama lebih dua bulan sekarang," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Lain