SETIU: Seorang wanita maut manakala tiga lagi cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung di Kilometer 72 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu berhampiran Kampung Apek, di sini, Selasa. Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa Siti Syazwani Mohamad, 29 terbunuh di lokasi kejadian manakala anaknya Aisyifa Adawiyah Albakeri, 3 tahun patah paha kanan. Manakala pemandu Ford Ranger Sukri, 18 mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan patah tulang belikat kanan dan Norhafizah, 21 patah bahu kiri. Kedua-dua mangsa adalah adik beradik mangsa. Ketika kejadian kesemua anggota keluarga berkenaan dari arah Kota Baharu menuju ke Kuala Terengganu. Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi nahas, kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan dan terhumban ke dalam gaung di sebelah kanan jalan. Susulan kejadian itu Norhafizah yang duduk di bahagian penumpang hadapan telah tercampak keluar dari kenderaan manakala pemandu dan penumpang belakang tersepit di di tempat duduk masing-masing. Ketua Polis Daerah Setiu DSP Elias Abu Bakar ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian. Katanya pihak bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia telah membantu bagi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan. Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk dibedah disiasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar di hospital yang sama untuk menerima rawatan. Elias berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kemalangan itu berlaku dipercayai pemandu yang berasal dari Kampung Padang Luas, Jerteh itu mengantuk namun siasatan lanjut masih dijalankan.