KUALA LUMPUR: Kenyataan 'pedas' Chef Adu Amran yang disiarkan mStar Online berhubung fenomena 'peniaga segera' di bazar Ramadan pada Rabu rata-rata menyebabkan golongan peniaga terlibat kecewa, malah ada yang mempertikaikan pendirian chef selebriti itu. Aspek kebersihan dan kesegaran makanan yang dijual di tapak bazar Ramadan adalah antara isu yang diketengahkan chef yang pernah bertugas di luar negara itu. Berdasarkan tinjauan mStar Online di bazar Ramadan Seksyen 1, Wangsa Maju di ibu negara mendapati, peniaga ternyata tidak selesa dan menganggap kata-kata Chef Adu itu keterlaluan. Peniaga daging salai, Amirul Azhar berkata, pandangan Chef Adu mengenai peniaga yang kurang menjaga kebersihan tidak boleh diterima kerana mereka memandang berat itu itu, malah wajib mengambil suntikan Vaksin Typhim (tifoid atau demam kepialu) bagi mendapat lesen perniagaan. “Dalam video itu memang dia ada sebut sesetengah tapi kami yang berniaga disini semuanya menjaga kebersihan, siap dengan suntikan tifoid. “Ayat sesetengah tu secara tak langsung memberi tempias pada kami dan wujud tanggapan orang ramai yang makanan di bazaar Ramadan tidak bersih,” katanya. Bagi peniaga air, Ahmad Latifi pula berpendapat, adalah tidak adil untuk Chef Adu menasihatkan rakyat Malaysia supaya jangan terlalu kerap ke bazar Ramadan. “Dia sebagai chef selebriti seharusnya menjadi contoh yang baik, jangan keluarkan pesanan seperti itu. “Inilah sumber rezeki yang kami jalankan dengan berniaga di bazar Ramadan,” katanya Ikuti tembubual bersama peniaga bazar Ramadan yang memberi maklum balas terhadap kenyataan Chef Adu Amran yang juga finalis APO2016 bagi kategori Chef Selebriti Pilihan.