suria

‘Ada Tak Kena’ PAS Tak Sokong Deklarasi Rakyat - Mat Sabu

Mat Sabu (kiri) bersama Tun Dr Mahathir Mohamad serta Lim Kit Siang berkempen untuk calon Amanah, Dr Termizi Ramli (dua dari kanan) di Sekinchan baru-baru ini.


SUNGAI BESAR: "Ada sesuatu yang tak kena", demikian kata-kata ringkas Mohamad Sabu ketika mempertikaikan tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak mahu menyokong Deklarasi Rakyat.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, persoalannya kini kenapa PAS mahu berjuang habis-habisan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi tidak ketika pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dulu kita (PAS) lawan kerajaan Tun M, saya dua kali kena tahan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), sekali kena buang daerah, sekali masuk Kem Tahanan Kamunting, sapa yang buat? Tun M,  sebab kita lawan dasar kerajaan dia, bukan individu.

“Sekarang Najib jadi perdana menteri, dasar BN tak berubah, kenapa bekas presiden saya lawan kerajaan Mahathir, tak lawan kerajaan Najib? Ini ‘something wrong’,” katanya ketika berceramah di sini, malam Khamis.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut mempersoalkan kenapa presiden parti lamanya itu hanya mahu menjadi penasihat Umno dan BN pada waktu ini, walaupun BN mengamalkan dasar yang sama sejak dulu.

“Dia tak mau tandatangan Deklarasi Rakyat sebab dasar (BN) serupa. Kalau dasar serupa, ada Najib atau tak ada, kita kena lawan kerajaan BN.

“Kenapa nak jadi penasihat?,” soalnya kepada hadirin.

Mat Sabu dalam ceramahnya turut menasihatkan mereka yang hadir, terutama penyokong PAS untuk mengundi Amanah dengan menyatakan undi yang diberikan kepada PAS adalah sia-sia.

“Adik-adik saya kalau nak duduk dalam parti lama saya, silakan duduk, tak apa tapi tolong jangan sia-siakan undi anda.

“Sebab kita memilih secara demokrasi, kalau angkat senjata lainlah. Bila demokrasi sapa yang ramai dialah yang menang,” katanya.

Ceramah itu adalah ceramah terakhir Mat Sabu dalam kempennya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar. Mat Sabu akan berkempen di Kuala Kangsar pada Jumaat malam.






Artikel Lain