suria

Remaja Cedera Di Leher, Dada Terkena Mercun Buatan Sendiri

Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian leher dan dada akibat bermain mercun. Foto Sinar Online

DUNGUN: Seorang remaja berusia 14 tahun mengalami kecederaan serius di bahagian leher dan dada akibat bermain mercun di Kampung Tok Kah di sini, Khamis malam.

Mohd Haiqal Firdaus Mohd Abdullah, 14, dipercayai bermain mercun buatan sendiri, bersendirian berhampiran rumah neneknya kira-kira 9 malam sebelum mercun yang dipasangnya meletup.

Menurut ibu saudaranya Noriah Awang, 41, beliau mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi oleh adiknya.

"Saya sangat terkejut melihat keadaan mangsa yang cedera teruk dan lehernya juga turut berlubang terkena mercun," katanya.

Mangsa yang sebelum itu dihantar ke Hospital Dungun bagaimanapun dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

"Mohd Haiqal kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan telah menjalani pembedahan bagi merawat lehernya yang mengalami kecederaan serius," katanya ketika ditemui Bernama, awal pagi Jumaat.

Noriah berkata, anak sulung enam beradik itu keluar dari rumahnya kira-kira 5 petang untuk berbuka puasa bersama anggota keluarganya yang lain di rumah neneknya.

Katanya, sebelum kejadian itu, adik beradiknya yang lain ada terdengar bunyi letupan.

"Tidak lama selepas itu mangsa pulang ke rumah dalam keadaan berlumuran darah serta kesakitan dan memaklumkan kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, pihak polis akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu.

Katanya, setakat ini keluarga mangsa masih belum membuat laporan polis. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain