suria

Bangunan Sekolah Agama Pondok Pasir Tumboh Musnah Terbakar

Anggota Bomba dan Penyelamat memantau kerja-kerja memadam kebakaran bangunan asrama Madrasah Diniah Bakriah di Pondok Pasir Tumboh pada Jumaat Foto: Bernama

KOTA BAHARU: Tiga blok bangunan asrama perempuan di Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh di sini, hangus dalam kebakaran pada Jumaat.

Semua 50 pelajar yang tinggal di asrama itu terselamat kerana sedang berada di luar bangunan ketika kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 6 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Kota Baharu Pegawai Kanan Bomba II Jamil Abdullah berkata pihak bomba menerima panggilan jam 6.10 petang dan tiba di lokasi kebakaran pada jam 6.17 petang.

Sebaik tiba, api sedang marak membakar sebahagian besar struktur bangunan asrama terbabit dan anggota bomba segera bertindak memadam dan mengawal api supaya tidak merebak ke bangunan lain yang terletak berdekatan, katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Jamil berkata empat buah jentera dengan kekuatan 27 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Kota Darul Naim, Kota Baharu serta Tunjong di sini, dikejarkan ke lokasi kebakaran.

"Bomba mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran kerana struktur bangunan adalah jenis separuh kekal," katanya.

Katanya, setakat ini punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Mudir Pengurusan Asrama Muslimah Shuib Omar berkata ketika kejadian kesemua 50 pelajar perempuan yang tinggal di asrama itu berada di luar bangunan asrama.

Katanya, bangunan itu selain menjadi tempat tinggal, turut dijadikan sebagai tempat simpanan kitab-kitab agama.

"Sepatutnya, kini musim cuti sekolah tapi di sini kami mengadakan program pembacaan kitab di bulan Ramadan," katanya.

Menurutnya pondok pengajian itu dihuni oleh kira-kira 1,000 pelajar berusia 18 hingga 25 tahun dari seluruh negara. -Bernama

Artikel Lain