suria

Azmin Beri Bayangan Bonus Lebih Sebulan Untuk Penjawat Awam Selangor



SUNGAI BESAR
: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membayangkan penjawat awam di negeri ini bakal menerima 'durian runtuh' menjelang Aidilfitri ini.

Azmin berkata, ini berdasarkan rizab kerajaan negeri yang meningkat kepada RM4.1 bilion setakat Jun tahun ini berbanding rizab RM3.3 bilion pada 2015.

Bagaimanapun Azmin berkata, beliau tidak akan mengumumkan bonus raya tersebut supaya ia tidak dikaitkan dengan dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan Sabtu.

"Hari ini saya tak mahu umum apa-apa kerana saya tidak mahu mempengaruhi apa yang berlaku esok.

"Tapi tahun lepas rizab negeri RM3.3 bilion, itu pun kita beri bonus hari raya sebulan dan tahun ini saya diberi taklimat rizab meningkat mencecah RM4.1 bilion. Kalau rizab RM3.3 bilion dapat sebulan, kalau RM4.1 bilion...saya belum ada jawapan," katanya.

Azmin berkata demikian ketika berucap di Majlis Iftar Menteri Besar Bersama Penjawat Awam di Sungai Nipah, di sini, Jumaat.

Timbalan Presiden PKR itu juga memberi gambaran jelas bahawa bonus hari raya untuk  penjawat awam di negeri ini adalah melebihi sebulan gaji.

"Tetapi pastinya mestilah lebih dari dulu,  sebab saya tak setuju dengan 'dulu, kini dan selamanya'. Takkan dulu sebulan hari ini pun sebulan juga," katanya.

Menurut Azmin, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap perkara ini kerana sumbangan besar penjawat awam yang dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan dasar-dasarnya dengan baik.

Dalam pada itu Azmin turut menegaskan sekali lagi bahawa beliau tidak banyak menghabiskan masa untuk berkempen di Sungai Besar kerana beliau tidak berkerja mengikut musim.

Katanya, beliau mula berkerja untuk rakyat sejak dua tahun lalu apabila diberi amanah untuk melakukannya.

"Saya nak ulang sekali lagi saya kerja bukan bermusim, saya dan pimpinan dalam negeri tak turun kerja hanya semata-mata bila ada PRK.

"Saya dan pasukan saya kerja tujuh hari seminggu, hampir 16 jam sehari untuk letakkan asas yang kuat dan kukuh di Selangor ini.

"Saya bukan macam orang lain yang muncul seminggu dua ini untuk dekati rakyat," katanya.

Artikel Lain